Kagum lihat dram pelik, XPDC jemput band Padang Jambu ‘jamming’ sekali

SEKITAR lapan tahun yang lalu, satu klip video sekumpulan anak kampung dari Padang Jambu, Dungun, Terengganu bermain muzik menggunakan barangan terpakai menjadi viral di laman sosial.

Ia berikutan kreativiti dan bakat mereka yang dilihat sangat luar biasa.

Ditambah pula set dram yang digunakan, walaupun hanya mengitar semula barangan terbuang, namun kreativiti yang ditonjolkan mampu menghasilkan bunyi yang menarik.

Malah pengubahsuaian itu berjaya menghasilkan bunyi double paddle yang mampu menarik minat siapa sahaja yang mendengarnya.

Minat mendalam lima anak muda ini dalam bidang muzik membuatkan mereka mencari jalan untuk menghasilkan sesuatu yang unik untuk menterjemahkan karya mereka.

Kebanyakan lagu yang mereka sering kumandangkan berentak heavy metal terutamanya XPDC dan Cromok.

Nyata selepas sekian lama ia menarik perhatian kumpulan rock terkemuka tanah air XPDC yang menganggap mereka ini luar biasa.

Malah anggota XPDC, Zua  kagum dengan semangat yang ditonjolkan ahli kumpulan itu sehingga sanggup mencari barangan lusuh dan terbuang untuk bermain muzik.

“Saya terkejut dengan mereka ni… hebat. Kita harap Amy (pemain dram XPDC) kalau boleh dermalah dram untuk mereka,” kata Zua XPDC sambil bergurau ketika dipertontonkan video berkenaan.

Secara peribadinya kesungguhan mereka itu membuatkan XPDC beranggapan ia adalah satu penghargaan daripada peminat terhadap kumpulan itu.

Walaupun menjadi idola kepada jutaan peminat muzik rock tanah air yang begitu disanjung, XPDC nyata tidak pernah meminggirkan peminat-peminat mereka dan sentiasa menghargai jasa mereka yang terus menyokong muzik bawaan XPDC.

Malah, XPDC sendiri ingin menjemput mereka untuk ‘jamming’ sekali.

“Saya sebenarnya agak kagum dengan bakat dan kesungguhan mereka. Ia adalah sesuatu yang luar biasa.

“XPDC mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kepada mereka ini yang meminati muzik kami.

“Kalaulah ada peluang apa kata kita jamming sekali di studio kami di Kuala Lumpur sebagai menghargai kesungguhan mereka ini,” kata Zua.

Article source: http://www.astroawani.com/berita-hiburan/kagum-lihat-dram-pelik-xpdc-jemput-band-padang-jambu-jamming-sekali-195814

Leave a Comment

14 + 2 =